Indeks Artikel

Cara misteri Kassim menjadi kaya raya

Rabu, Maret 06, 2013 00:43 WIB
Saya datang ke KL pada tahun 1999. Asalnya datang hanya untuk sebentar, membantu kawan menyiapkan satu projek pemasangan sensor Karbon Monoksida di pusat parkir bawah tanah KLCC.

Selama lebih 6 bulan saya berada di bawah kawasan Parkir tersebut dan semuanya masih dalam keadaan serba baru. KLCC baru dibuka dan suasana bangunan hebat tersebut cukup canggih. Kedai-kedai di dalamnya memang vogue dan pengunjungnya juga amat vogue.

Oleh kerana semua orang di pusat membeli belah Suria KLCC semunya vogue, saya segan hendak naik ke atas melainkan jika benar-benar ada urusan.

Pada satu hari saya dihubungi seorang kawan, Kassim yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, "Assalamualaikom! Bihi, aku dah ada kat KL!, hang kat mana?" Kassim bertanya melalui telefon.

"Aku ada kat KLCC, hank kat mana?" Saya membalas.


"Aku kat Puduraya, hang tunggu kat situ, aku pi sana!", balas Kassin ringkas.

"OK, bila dah sampai nanti hang pi cari kaunter Info dan tunggu aku kat situ. Aku akan cari hang" Saya menjawab. Saya meneruskan kerja di bawah tanah dan tidak berapa lama kemudian mendapat panggilan semula dari Kassim yang dahpun sampai di KLCC.

Tanpa melengahkan masa saya naik ke atas dan menuju ke arah kaunter Info. Dari jauh terlihat Kassim sedang tercongak-congak keseorangan di situ. Bila hampir saja di tempatnya, saya lihat ada banyak beg lusuh tersusun di sekeliling kakinya.

Rupanya dia berniat untuk berhijrah ke KL dan datang terus dari Pudu untuk menemui saya bersama dengan semua barang-barang yang dia bawa dari kampung. Lebih mengejutkan, apabila dia berkata tidak ada tempat untuk menumpang.

Saya respect dengan sikap tebal muka Kassim yang tanpa terlebih dulu memberitahu akan datang dan langsung tak bertanya terlebih dulu untuk mendapatkan pertolongan dari saya.

Atas rasa tanggung jawab seorang manusia, saya terpaksa menawarkan rumah di USJ 12 sebagai tempat menumpangnya. Di situlah Kassim memulakan kehidupan yang penuh mencabar dengan serba kekurangan. Saya berkongsi makanan ala kadar bersama dengannya setakat termampu.

Selang beberapa hari, dia pergi mengambil motosikal kapcai yang dikirim melalui keretapi. Kassim mula panjang langkah dengan moto kapcainya itu. Kassim tinggal dengan saya agak lama sehinggalah dia mendirikan rumah tangga, dia masih menumpang dengan lagi di situ.

Saya terpaksa berkorban memberikan bilik masterbedroom khas untuk dia dan isteri. Nasib baik saya masih bujang ketika itu.

Satu perkara yang saya langsung tak berkenan dengan Kassim adalah sikap suka cakap besarnya. Dia sentiasa bercakap seolah-olah dia kaya raya dan cukup berjaya. Sedangkan saya tahu bagaimana dia menumpang dengan saya.

Tidak beberapa lama dia mendapatkan rumah sendiri dan pindah bersama dengan isterinya. Kami mula membawa haluan masing-masing dan berjumla sekali sekala jarang-jarang. Bila berjumpa dia masih dengan sikap berlagak cakap besar.

Lebih memualkan lagi adalah betapa tidak logik segala percakapannya. Apa saja yang dibincangkan sering tidak seiring yang memperlihatkan betapa dia terlalu cetek pengetahuan dan terlalu kurang membaca. Banyak cakap-cakapnya saya malas nak lawan atau layan kerana hanya membuang masa.

Tapi nak diringkaskan cerita, setelah lama tak jumpa dia akhirnya bertemu kembali dengan saya. Kali ini dia benar-benar kaya. Memandu Merz E-Class. Berjam tangan mahal yang saya tak reti sebut jenamanya dan pakaian, kasut, pen semuanya mahal-mahal. Apa yang diulang cakapnya dulu semuanya menjadi kenyataan.

Dari mana dia mendapatkan duit yang banyak masih tinggal misteri bagi saya. Memang ada cubaan untuk mengorek rahsianya, tapi sikap cakap besar dan asyik tunjuk kaya memualkan saya. Setiap kali berjumpa ada saja benda hebat yang diceritakan baru dibelinya.

Mengenali dia saya yakin 90% daripada apa yang dikhabarkannya adalah belum berlaku lagi seperti mana dulu juga. Tapi saya masih musykil darimana dia tiba-tiba menjadi mewah. Bukanlah saya dengki dan ingin memiliki kereta sepertinya, saya cuma mahu tahu rahsia kejayaannya sahaja yang amat misteri.

Kassim tahu saya lebih memandang keupayaan untuk mengadakan sejam sehari bersenam dan menikmati waktu pagi di sekeliling taman adalah jauh beratus kali ganda lebih bernilai daripada Merz E-Class yang dimilikinya.

Kini saya mengelakkan diri daripada menemuinya. Tiada apa-apa faedah untuk saya meneruskan perhubungan yang menyemakkan dada dengan cakap besar dan penuh dengan aktiviti mengejar dan menunjuk kemewahan.

Namun begitu satu perkara penting yang dapat kita belajar dari Kassim adalah, jika anda mahukan sesuatu dan sentiasa mengulang sebutnya tanpa jemu-jemu, lambat laun semuanya akan menjadi kenyataan tak kisah samada anda tak berapa cerdik atau memualkan orang lain!

TQ : http://www.hidupringkas.com/2013/02/cara-misteri-kassim-menjadi-kaya-raya.html